top of page

jaringan inap industri ump

Universiti Malaysia Pahang (UMP) melancarkan Industry Network Alumni Platform (Inap) dalam usaha memperkasa jaringan industri dan alumninya.

Pelancaran berlangsung sempena Majlis Minum Petang Bersama Industri yang diadakan di Hotel Everly, Putrajaya baru-baru ini.

Inap ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat serta Persatuan Alumni UMP, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, yang menyasarkan kerjasama alumni yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta di negara ini.

Naib Canselor UMP, Datuk Prof. Dr. Daing Nasir Ibrahim, berkata, Pelan Strategik UMP 2016-2020 melihat kerjasama universiti dengan industri, dan alumni merupakan perkara utama yang perlu diberi penekanan dalam memacu kebolehpasaran graduan, pengembangan akademik dan penyelidikan, serta pembangunan profesional.

“Inap ditubuhkan sebagai satu badan di bawah Persatuan Alumni UMP dengan objektif khusus membangunkan idea-idea yang konstruksi daripada perspektif profesional alumni yang mempunyai nilai tambah dan berimpak tinggi melalui penglibatan bersama.

“Dengan cara ini, sebanyak 22,502 alumni UMP dapat menjalinkan kerjasama. Justeru, saya mengharapkan dekan fakulti melihat inisiatif Inap ini dalam konteks penerokaan peluang dan kerjasama strategik, di samping mengekalkan hubungan alumni dengan UMP.

“Ada dalam kalangan alumni telah menjawat jawatan pengurusan pertengahan dan sebahagian daripada mereka pula telah berjaya memegang jawatan sebagai pengurus atasan,” katanya ketika melancarkan Inap baru-baru ini.

Hadir sama, Penolong Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Jamil Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings Sdn. Bhd. merangkap Presiden Persatuan Alumni Graduan UMP, Tuan Syed Mohd Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif, DreamEDGE Sdn. Bhd, Khairil Adri Adnan; Ketua Pegawai Teknikal, SysArmy Sdn. Bhd, Alan Yau Ti Dun dan Pengurus Kanan, Daikin Research & Development Malaysia Sdn. Bhd, Lim Soon Kiong.

Dalam pada itu, Daing Nasir menambah, UMP akan terus maju sebagai sebuah universiti teknikal yang berprestasi dan bersinergi dengan industri yang memberi manfaat penjenamaan, peningkatan kapasiti penyelidikan, pengembangan akademik, pembangunan profesional dan kebolehpasaran graduan.

Pada majlis itu juga, berlangsungnya majlis menandatangani kerjasama persefahaman (MoU) UMP dengan tiga rakan industrinya, iaitu DreamEDGE Sdn. Bhd, SysArmy Sdn Bhd dan Daikin Research & Development Malaysia Sdn. Bhd.

Melalui kerjasama dengan DreamEDGE, UMP komited untuk membangunkan penyelidikan akademik dalam dua bidang kejuruteraan, iaitu automotif dan rel melalui program latihan industri, sangkutan, pemindahan teknologi dan penerokaan prospek penyelidikan.

Kepakaran DreamEDGE pula dalam pelbagai perkhidmatan kejuruteraan digital termasuk Data Exchange Service untuk Rekabentuk Data CAD dan Khidmat Modeling, Analisis dan Simulasi CAE, Khidmat Konversi Data CAD, Solusi PLM dan Khidmat Penyumberan Luar, yang merupakan aspek bagi meningkatkan kapasiti akademik dan penyelidikan pelajar UMP.

Kerjasama dengan SysArmy pula, UMP berhasrat untuk meningkatkan kapasiti penyelidikan dalam bidang keselamatan siber berdasarkan pengalaman luas syarikat itu dalam penyediaan solusi teknologi berkaitan Pemantauan Keselamatan Siber (SOC), Perkhidmatan Profesional CyberSecurity dan Integrasi Sistem CyberSecurity.

Kolaborasi ini turut menyediakan peluang penempatan latihan industri untuk pelajar dan program sangkutan untuk kakitangan UMP, khususnya dari Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian, selain menyediakan dana kewangan penyelidikan.

Sementara itu, kesediaan Daikin Research & Development Malaysia Sdn. Bhd. untuk berkolaborasi dengan UMP merupakan satu indikator positif ke arah peningkatan keupayaan penyelidikan UMP dalam bidang kejuruteraan yang berkaitan penyamanan udara.

Ini termasuk aspek nano lubricant, computer system, tribology study, endurance test dan air conditioner’s performance study.

Kerjasama ini memberi peluang kedua-dua pihak meneroka pembangunan inovasi teknologi pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan kejuruteraan, penganjuran bengkel seminar serta peluang pendidikan dan penyelidikan pascasiswazah.

bottom of page